Selasa, Ogos 25, 2009
Tazkirah untuk menyambut Ramadhan
Petang ni rasa macam nak kongsi tazkirah jer…. Sempena nak menyambut Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini tapi sayangnya saya berada di perantauan dan terpaksa berpuasa seminggu disini. Insya Allah selebihnya akan dapat berpuasa di Malaysia bersama keluarga serta dapat menyambut Aidilfitri, insyaAllah. Baiklah kita saling ingat mengigati antara satu sama lain dan ini pun sumbangan dari kawan-kawan juga
Pertama sekali, suka saya ingatkan diri saya serta rakan-rakan semua tentang kubur. Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak lima kali:
Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam.
Aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Bismillah sebagai penawar.
Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyaklah bacaan “Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah”, supaya kamu dapat jawapan kepadanya.
Suka juga saya mengingatkan diri saya serta rakan-rakan semua tentang racun dengan penawar. Lima jenis racun dan lima penawarnya:
Dunia itu racun, zuhud itu ubatnya.
Harta itu racun, zakat itu ubatnya.
Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu ubatnya.
Seluruh umur itu racun, taat itu ubatnya.
Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu ubatnya.
Kemudian, suka saya ingatkan diri saya serta rakan-rakan semua tentang ibu kepada 4 perkara. Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
Ada 4 di pandang sebagai ibu, iaitu:
Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN.
Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA.
Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.
Ibu dari segala CITA CITA adalah SABAR.
Akhir sekali, suka saya ingatkan diri saya serta rakan-rakan semua supaya berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran. Beberapa kata renungan dari Qur’an - Orang Yang Tidak Melakukan Solat:
Subuh : Dijauhkan cahaya muka yang bersinar.
Zuhor : Tidak diberikan berkah dalam rezekinya.
Asar : Dijauhkan dari kesihatan/kekuatan.
Maghrib : Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya.
Isyak : Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya.
Wallahu a’lam.
Bulan Ramadhan bulan berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda. Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.
Saudara-saudari,
Apabila kita membuat kesilapan kita sering menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk' kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat Islam.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Berjihadlah kamu dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah (fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh Allah selain menahan lapar dan dahaga"
Saudara-saudari,
Bulan Ramadhan ini adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya. Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah. Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu."
Wasalam
Langgan:
Catatan (Atom)