Khamis, September 11, 2008

Tengku Abdullah mahu UMNO kukuh institusi Raja sebagai pelindung Melayu


Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Umno melakukan usaha mengukuhkan institusi raja-raja Melayu bagi menguatkan lagi peranannya sebagai pelindung rakyat khususnya orang Melayu serta agama Islam.

“Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak,” titah baginda dalam satu wawancara eksklusif dengan Khabar Pahang, akhbar rasmi kerajaan negeri Pahang.

Tengku Abdullah bertitah imuniti raja-raja, yang suatu ketika dulu telah dihapuskan secara tidak langsung, telah meletakkan institusi berkenaan berada dalam keadaan seolah-olah tidak kukuh dan mungkin menjadi tidak relevan.

Namun, baginda berharap, semua pihak harus sedar dan memahami bahawa institusi raja-raja Melayu telah memainkan peranan berkesan dalam arus pembangunan negara selama ini.

Tengku Abdullah menjelaskan bahawa ketika tokoh-tokoh kepimpinan negara berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, wakil raja-raja Melayu turut menyertainya termasuk dalam rundingan yang diadakan di London.

“Dalam hubungan ini, bukan soal siapa lebih berkuasa antara eksekutif, kerajaan yang memerintah dan institusi raja-raja (tetapi) yang penting ialah raja-raja Melayu dan juga parti yang memerintah, mempunyai semangat untuk ’co-exist’ supaya kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” titah baginda. - Bernama

Tiada ulasan: