Khamis, Ogos 07, 2008

Kita hendaklah selidiki dahulu tentang sesuatu berita.


WAHAI orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka selidiklah agar kami tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (al-Hujuraat: 6).

Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah mengutus al-Walid bin Uqbah untuk memungut zakat daripada Bani Musthaliq. Bani Musthaliq telah mengaku tunduk kepada Rasulullah SAW dan menerima agama Islam sebagai kehidupan seharian. Sebab itulah mereka diwajibkan membayar zakat setelah genap tempoh dan kadar yang sepatutnya.

Apabila sampai di sana al-Walid tidak dapat memungut zakat dengan baik sehingga menyebabkan jumlah zakat tidak seperti yang diharapkan. Lalu beliau pulang ke Madinah dengan hampa tanpa membawa sebarang hasil zakat yang diminta oleh Rasulullah SAW.

Setelah sampai, dia pun berjumpa dengan Rasulullah SAW. Sebagai alasan, al-Walid memberitahu Rasulullah SAW bahawa kaum Bani Musthaliq telah murtad dan enggan membayar zakat.

Tanpa berlengah lagi, Rasulullah SAW pun mengutuskan Khalid al-Walid bersama dengan seangkatan tentera ke daerah berkenaan. Sememangnya golongan yang ingkar membayar zakat dikira berdosa besar dan wajib diperangi. Khalid al-Walid dihantar dahulu ke sana untuk menyiasat kebenaran berita yang disampaikan oleh al-Walid. Jika khabar yang disampaikan al-Walid itu benar, nescaya Khalid akan mengerahkan tenteranya supaya memerangi Bani Musthaliq.

Khalid pun memulakan siasatannya. Dia telah sampai di sana pada waktu malam. Kedatangannya tidak disedari oleh sesiapapun. Dia pun menghantar beberapa orang penyiasat untuk menyiasat keadaan Bani Musthaliq.

Alangkah terkejutnya mereka apabila mereka mendapati Bani Musthaliq masih beragama Islam dan mengamalkan Islam dengan sempurna. Tidak lama selepas itu, kesemua penyiasat itupun kembali semula ke khemah mereka.

Mereka melaporkan kepada Khalid bahawa kaum Bani Musthaliq masih mengamalkan ajaran Islam dengan baik. Mereka menunaikan solat berjemaah dan azan masih berkumandang apabila masuk waktu solat.

Setelah mendengar laporan tersebut, Khalid pun pulang menemui Rasulullah SAW. Beliau memberitahu apa yang telah dilihatnya bersama-sama dengan anak buahnya.

Rasulullah SAW sangat berpuas hati dengan laporan yang diberikan oleh Khalid al-Walid. Maka turunlah ayat enam surah al-Hujurat ini membenarkan apa yang dilakukan oleh Rasulullah itu.

Ayat ini jelas sekali melarang mempercayai berita yang dibawa oleh orang fasik tanpa usul periksa kerana ia akan memburukkan sesuatu kaum atau seseorang yang lain. Sekiranya berasa ragu-ragu dengan berita tersebut maka hendaklah menyiasat khabar berita tersebut dengan saksi-saksi dan bukti yang boleh dipercayai. Demikianlah Islam menjaga hak-hak manusia supaya tidak ada yang akan teraniaya.

Tiada ulasan: