Rabu, Julai 23, 2008

Allah swt bersama mereka yang benar


Tidak ada isu yang bermain di lidah kita semua sejak lewat semalam melainkan berita yang melibatkan Penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim. Menurut laporan Pembantu Khas beliau Saiful Bukhari Azlan, 23 telah membuat laporan polis mendakwa beliau telah diliwat oleh DSAI.

Terus sahaja kes ini mengingatkan kepada kita tentang apa yang telah berlaku dan ditanggung oleh DSAI sekeluarga kira-kira 10 tahun lalu.

Sebagai seorang pemimpin yang disegani dan dihormati sudah tentulah tuduhan ini akan mendatangkan aib bukan sahaja kepada DSAI sendiri dan kaum keluarga beliau, tetapi juga turut melibatkan kawan-kawan dan mereka yang bersama berjuang dengan beliau. Sekiranya fitnah ini dirancang sebagaimana 10 tahun lalu, maka Allah sudah pasti akan melaknat mereka yang merancang dan terlibat dalam perancangannya. Kebenaran insyallah akan memihak kepada mereka yang benar.

Lantas, oleh kerana laporan polis telah dibuat, maka marilah kita sama-sama memastikan yang segala ketelusan dan keadilan dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menyiasat kes ini. Tengahari tadi PM Dollah Badawi mengatakan yang biarlah pihak polis membuat penyiasatan, dan memang kita semua mahukan begitu dengan syarat ianya dilakukan dengan setelus dan seadil mungkin tanpa sedikit pun tekanan atau pengaruh dari mana-mana pihak terutama yang memegang kuasa sebagaimana berlaku 10 tahun lalu.

Jika laporan polis dan dakwaan yang dibuat semata-mata bertujuan membunuh karier politik DSAI, siasatan yang telus dan adil bakal membongkar segala-galanya.

Kepada pihak polis dan mereka yang bertanggungjawab, ingat, rakyat jelata sedang memerhatikan dengan penuh teliti perkembangan ini, jangan sampai keyakinan sedikit yang tinggal pada kami itu hilang langsung sehingga rakyat bangkit menuntutnya kembali.

Tiada ulasan: