Isnin, Julai 14, 2008

Arak dan Judi masih wujud di Negeri Pakatan Rakyat


Letih makan angin di Langkawi belum hilang. Naik bas Trans Nasional yang entah keluaran tahun berapa menguji kesabaran. Nasib baiklah lawatan ini ditaja oleh bos.

Sudah agak lama saya tidak melancong dengan keluarga. Isteri memang lama merengek-rengek ajak berjalan jauh. Peluang ke Langkawi tidak dilepaskan walaupun sebelumnya kami tempah chalet di Sudara Beach Resort. Nasib sempat dibatalkan. Anak-anak tumpang gembira walaupun mereka tak tahu di mana itu Langkawi. Ahmad Al Masih pun tahu sebut kawi kawi. Hak mana tak dengar kata tak leh gi Langkawi. Habis semua ikut kata umi dia.

Apa perubahan yang boleh dilihat di Langkawi setelah beberapa tahaun lalu saya ke sana.Tidak ada perubahan besar. Dulu saya naik flight ke sana, kali ini naik feri di Kuala Perlis. Nasib baik feri ferinya besar, bimbang saya sejak akhir-akhir ini boleh mabuk kalau dilambung-lambung.

Premis jual arak masih banyak. Paling sedih bila lihat juru jualnya anak-anak Melayu. Ketika masuk sebuah kedai budak perempuan bertudung sedang melayan pelanggan cina yang mencari wiski. Inilah bahana apabila anak bangsa melayu muslim kita dirosakkan sejak berzaman dengan pemikiran sekular yang masih dipertahankan oleh orang kita.

Siapa lagi kalau tidak Umno dan Barisan Nasional. Mereka seperti tidak pernah mendengar hadis bahawa semua yang terlibat dengan najis arak adalah berdosa. Tak kira jadi peminum ke, pembekal ke, chaser ke, jaga ke…

Soalnya kenapa kerajaan baru Kedah yang diterajui oleh PAS hari ini tidak mengambil langkah drastik mengekang penjualan terbuka arak sebagaimana yang dibuat oleh Kelantan. Bukankah apabila turun sahaja ayat pengharaman arak, Sahabat Nabi tidak tunggu hingga habis stok! Diriwayatkan para Sahabat mempunyai simpanan arak yang banyak dalam tempayan-tempayan besar mereka. Alkisah ada seoarng sahabat yang minum arak, kemudian ke masjid. Tentu sahaja dalam keadaan separuh sedar bacaannya entah ke mana. Justeru Allah Taala menurunkan firmannya yang bermafhum : Mereka bertanya kamu (wahai Muhammad) arak dan judi. Katakan keduanya dosa besar, ia ada manafaat pada manusia dan dosa keduanya adalah lebih besar daripada manafaat keduanya.

Dalam konteks pengharaman judi dan arak dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat kita perlu juga melihat dari aspek politik, sosio budaya masyarakat setempat. Mengambil contoh Selangor sebuah negeri yang dikatakan paling maju dalam Malaysia. Di situlah tersergamnya kilang arak terbesar. Dan ia masih di situ, beroperasi seperti sebelumnya.

Hakikatnya kita perlu akur bahawa budaya masyarakat Selangor tidak sama dengan budaya orang Kelantan. Kita pasti sekiranya Tok Guru tidak mengambil langkah awal mengekang arak dan judi, rakyat Kelantan akan bangkit. Antara arahan awal yang dikeluarkan “ saya tidak mahu lihat kedai judi dalam bandar Kota Bharu” Lalu para pegawai menyebut bahawa kuasa lesen judi adalah kuasa pusat. Tok guru beri penegasan bahawa belah mana pun dia tidak mahu ada kedai judi di KB.

Pegawai mengadakan mesyuarat. Dengan ilham Allah, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan premis untuk tujuan judi. Walhasil TOTO, Loteri dan seumpamanya tidak wujud lagi dalam Kota Bharu Bandaraya Islam.

Tetapi di negeri lain budaya masyarakatnya berbeza. Langkah yang terlalu drastik mungkin tidak menuntungkan dari segi politik. Tetapi sesekali menembak seperti yang dilakukan oleh pemuda Selangor tidak sepatutnya dilihat tindakan yang melampau dan ekstrem. Mereka pemuda Islam yang punya tanggungjawab terhadap agama dan parti mereka. Kalau diam dan lihat sahaja segala kemungkaran di hadapan mata suatu yang tak kena juga.

Apapun kita serahkanlah segala kebijaksanaan pimpinan. Kalau jelas ia bertentangan dengan dasar maka kita tegurlah secara berhikmah. Tetapi sekiranya ia hanya suatu prinsip, pendekatan dan strategi akurlah setakat yang kita boleh akur. Selebihnya baiklah kita diam daripada menembak tak tentu hala yang akhirnya tidak menguntungkan jemaah juga.

Tiada ulasan: