Selasa, Jun 24, 2008

DPP Padang Besar mahu PAS bertanding di Sanglang

PADANG BESAR- Dewan Pemuda PAS (DPP) Padang Besar mahu PAS Perlis menyertai pilihanraya kecil di Dun Sanglang sekiranya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan berbuat demikian berikutan keputusan mahkamah pilihanraya yang memulangkan kepada badan tersebut membuat keputusan berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.15 Sanglang.

Ketuanya, Sarudin Abu Bakar berkata demikian memandangkan keadaan politik semasa yang menyebelahi Pakatan Rakyat.

"Tsunami politik yang melanda negara ini masih belum reda dan "mood" rakyat menyebelahi kita pada masa ini. Negara juga sedang dilanda pelbagai masalah termasuk krisis kepimpinan dalam parti pemerintah, Barisan Nasional dan komponennya.

"Begitu juga dengan tekanan hidup yang sedang dihadapi rakyat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Semua ini meletakkan PAS/Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang selesa memasuki pilihanraya," katanya selepas sesi percambahan minda Jawatankuasa DPP Padang Besar baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, semua keputusan tertakluk kepada pimpinan tertinggi PAS samada memasuki pilihanraya kecil atau memboikotnya atas dasar prinsip.

"Apapun kita tetap berharap SPR memutuskan Ustaz Hashim Jasin sebagai pemenang di kerusi tersebut dan tiada pilihanraya kecil diadakan. Pilihanraya 8 Mac lalu adalah sah dan PAS seharusnya diisytiharkan memenanginya kerana yang berlaku hanyalah kesilapan pengiraan.

"Tak adillah sebab rakyat dah membuat pilihan mereka. Apapun sebarang kemungkinan yang berlaku, kita menyerahkannya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Pemuda PAS Padang Besar tetap akan bersedia menghadapi pilihanraya kecil sekiranya diputuskan demikian. Kita sedang mengumpulkan tenaga pemuda untuk bertugas di Sanglang sekiranya diadakan pilihanraya kecil," ujarnya.

Tiada ulasan: