Khamis, Jun 19, 2008

Teck Lee mengaku jumpa Anuar

KOTA KINABALU 18 Jun - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengakui mengadakan perjumpaan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hong Kong dan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu bagaimanapun tidak menjelaskan perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu.

Teck Lee memberitahu, beliau turut menemui beberapa pemimpin parti pembangkang dan Barisan Nasional (BN) di tempat lain.

''Saya turut menemui pemimpin pembangkang lain termasuk BN dan UMNO untuk membincangkan senario politik yang berlaku di Malaysia dan kesannya terhadap politik di Sabah,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SAPP dekat sini hari ini.

Sidang akhbar itu merupakan pengumuman rasmi SAPP yang mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengugut akan menyokong sebarang bentuk undi tidak percaya terhadapnya.

Teck Lee turut melahirkan keyakinan bahawa pendirian itu akan disokong oleh beberapa parti komponen BN lain di Semenanjung dan Sarawak.

Malah, beliau mendakwa, ahli-ahli Parlimen lain BN bersetuju dengan tindakan SAPP itu walaupun mungkin tidak secara terbuka.

''Beberapa pemimpin parti komponen bersetuju dengan tindakan SAPP ini, mungkin kita perlu menunggu beberapa hari lagi atau minggu depan (untuk menyatakan sokongan terhadap tindakan SAPP),'' katanya.

Berhubung kedudukan SAPP dalam BN pula, katanya, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada Jumaat ini.

''Secara teknikalnya, SAPP masih dalam BN. BN sebenarnya seolah-olah sudah tidak wujud di Sabah, BN di Sabah adalah sekadar nama tanpa penerimaan dan semangat BN yang sebenar-benarnya.

''Kami tidak pernah menyatakan akan keluar BN atau masuk pakatan pembangkang sebelum ini, apa yang kami mahu sebagai parti politik di Sabah ialah autonomi politik dan menyelesaikan masalah di negeri ini,'' ujarnya.

Ditanya adakah tindakan SAPP itu sebagai satu pengkhianatan terhadap BN, Teck Lee berkata, perkara itu tidak timbul, sebaliknya apa yang dilakukan adalah hasil rasa kecewa SAPP terhadap BN yang gagal menangani masalah di Sabah dengan cepat dan berkesan.

Berhubung jangkaannya terhadap reaksi pucuk pimpinan BN, beliau berkata: ''Saya tidak tahu bagaimana reaksi mereka. Sebelum ini ada pihak yang mahu menghantar kumpulan untuk menyiasat sama ada wakil rakyat di Sabah akan melompat parti atau tidak.''

Teck Lee turut menafikan bahawa tindakannya hari ini disebabkan tidak diberikan kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum lalu tetapi isu-isu Sabah yang masih tertangguh penyelesaiannya

Tiada ulasan: