Khamis, Jun 19, 2008

Rayuan Mawi batal saman RM1 juta ditolak

KUALA LUMPUR 18 Jun – Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuan penyanyi Mawi untuk membatalkan saman RM1 juta terhadap syarikat miliknya yang didakwa melanggar hak harta sebuah syarikat pengeluar air mineral, Yassa Sdn. Bhd. (Yassa).

Hakim Datuk Ramly Ali memutuskan menolak dengan kos rayuan syarikat Mawi World Sdn. Bhd. (MWSB) di kamar beliau hari ini. Beliau turut menetapkan 30 Jun ini untuk pengurusan kes tersebut.

MWSB mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Penolong Kanan Pendaftar, Noorasyikin Sahat pada 14 Februari lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman tersebut.

Yassa diwakili oleh peguam Adnan Seman @ Abdullah manakala peguam Juliana Mohamed mewakili MWSB.

MWSB pada 18 Januari tahun lalu mengemukakan permohonan membatalkan saman itu dengan alasan ia tidak mendedahkan apa- apa sebab tindakan yang munasabah, mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Dengan keputusan itu, kes saman tersebut akan diteruskan dengan perbicaraan. Bagaimanapun setakat ini, tarikh bicara masih belum ditetapkan.

Dalam saman yang difailkan pada 31 Oktober 2006, Yassa selaku plaintif menamakan syarikat MWSB sebagai defendan.

Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 26, bintang kelahiran program realiti TV, Akademi Fantasia 3 (AF3) merupakan pengarah syarikat MWSB.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, botol air minuman Mawi World yang memaparkan gambar Mawi mengandungi butiran maklumat mengenai sumber punca air dan kandungan air mineral yang sama seperti yang terdapat pada botol air mineral Streamline keluaran syarikat Yassa.

Tiada ulasan: