Sabtu, Jun 21, 2008

Keretakan PKR - Ezam

KUALA TERENGGANU 20 Jun - Dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) disifatkan hanya mahu mengalihkan perhatian rakyat daripada isu keretakan yang kini menyelubungi kerajaan pakatan pembangkang di negeri-negeri yang mereka kuasai.

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar menggunakan taktik kotor itu bagi menutup hubungan kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas yang retak di negeri-negeri itu selepas hanya 100 hari ia dibentuk.

Beliau berkata, dakwaan Anwar kononnya beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen BN adalah demi membolehkannya terus mendapat sokongan daripada DAP dan Pas bagi membaiki hubungan yang semakin rapuh antara parti-parti pembangkang berkenaan.

''Anwar sedar beliau tidak akan berjaya mendapat sokongan bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri seperti yang didakwanya, kerana jika betul dakwaan itu dia akan melakukannya secara diam-diam dan kemudian mengemukakan notis kepada Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

''Dakwaan itu merupakan satu taktik politik kotor yang boleh merosakkan negara kerana tindakan ini boleh mempengaruhi ekonomi negara kerana memberi pandangan negatif kepada pelabur-pelabur mengenai kestabilan politik di Malaysia," ujarnya.

Mohamad Ezam berkata demikian selepas majlis pendedahan pertamanya bertajuk 'Kenapa Saya Tinggalkan PKR' anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini malam tadi, yang turut dihadiri Ketua UMNO Kuala Terengganu, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Mohamad Ezam berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada rakan-rakannya yang masih dalam parti-parti pembangkang, hubungan DAP, PKR dan Pas di negeri-negeri terlibat semakin retak selepas DAP beberapa kali memboikot mesyuarat eksekutifnya.

''Antara faktor yang menyebabkan keretakan itu ialah kepentingan DAP gagal dipenuhi oleh kerajaan campuran manakala Pas pula dengan tuntutannya sendiri dan PKR menghadapi pelbagai masalah dalaman parti," ujarnya.

Beliau menjangka pakatan pembangkang akan dibubarkan dalam tempoh beberapa bulan lagi kerana Anwar akan gagal membaiki hubungan antara parti-parti komponen kerajaan itu.

Katanya, ahli-ahli parti Pas dan DAP mula sedar mengenai agenda politik yang digunakan oleh Anwar yang semata-mata meletakkan kepentingan peribadinya dalam usahanya mahu menjadi Perdana Menteri.

Tiada ulasan: